Wednesday 29 November 2017

Jual beli makanan

Islam menetapkan kaedah jual beli. Perkara pertama ialah tidak menjual barang yang diharamkan.  Sabda Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan jual minuman keras, bangkai, babi dan berhala.(HR Bukhari dan Muslim)”

Ketika membuat iklan atau menyatakan kepada pembeli mengenai barang yang hendak dijual mesti tepat tentang barang itu, terutama tentang keadaan, fungsi atau kebaikan barang ingin dijual. 

Setiap barang hendaklah segera dijual jika ada pembelinya.  Ditengah menyimpan barang dengan tujuan untuk mendapat keuntungan lebih jika dijual pada masa hadapan. Islam mementingkan agar keperluan semasa orang ramai diutamakan dengan menjual apa yang diingini atau diperlukan oleh pengguna.

Hadis diriwayat oleh Ahmad bermaksud: “Barang siapa yang menimbun barang keperluan makanan selama 40 hari, ia sungguh telah lepas dari Allah dan Allah telah berlepas darinya." Manakala dalam hadis lain  Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan menimbun kecuali orang yang salah." (Hadis riwayat Muslim)

Jadikan bidang pertanian satu lambang kejayaan dan ketakwaan.  Melakukan sesuatu dengan niat kebaikan dan kerana Allah, mereka itulah beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. 

Rezeki tidak datang bergolek melainkan diusahakan.  Taburlah bijih benih dan dijaga dengan sempurna, maka kemudian itu berserahlah kepada Allah menumbuhkan rezeki untuk hamba-Nya yang sentiasa berusaha.  

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman, melainkan Allah menetapkan baginya ganjaran sebanyak jumlah buah yang dihasilkan oleh tanaman berkenaan." (Hadis riwayat Ahmad)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Carilah rezeki dari khazanah bumi." (Hadis riwayat Tabrani).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menjayakan tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa (yakni tanah kerajaan), maka dia lebih berhak terhadapnya." (Hadis riwayat Ahmad, Malik dan Bukhari)

Sebagaimana firman Allah dalam surah Abasa ayat 27 – 32 yang bermaksud: “Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian (27) Dan buah anggur serta sayur-sayuran (28) Dan zaitun serta pohon-pohon kurma (29) Dan taman-taman yang menghijau subur (30) Dan berbagai-bagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput. (31) Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternakan kamu (32).”

Makanan ruji perlu ditanam untuk keselamatan

Banyak ayat al-Quran yang menyebutkan mengenai hasil tanaman dan buah-buahan yang pelbagai menunjukkan betapa pentingnya bidang pertanian pada pandangan Islam.

Allah SWT berfirman dalam surah al Anaam ayat 99 yang bermaksud: “Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah-buan) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan.”

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami menjadikan (di atas muka bumi ini tempat yang sesuai untuk dibuat) ladang-ladang kurma dan anggur. Kami pancarkan banyak mata air (di situ). Tujuannya supaya mereka boleh mendapat rezeki daripada hasil tanaman tersebut dan tanam-tanaman lain yang mereka usahakan. Adakah mereka berasa tidak perlu bersyukur?”
(Surah Yasin, ayat 34-35)

Bidang pertanian, terutama yang mengeluarkan hasil makan ruji seperti beras perlu dilihat dari aspek keselamatan negara. 

Sebab itu, negara kaya dan maju terus mengeluarkan sendiri sumber makanan biarpun sebenarnya adalah lebih menguntungkan jika negara berkenaan mengimport bekalan makanan itu dari luar negara.

Negara maju belum tentu selamat dan dapat menyediakan bekalan makanan yang mencukupi kepada rakyatnya jika berlaku peperangan, bencana dan ancaman penyakit sekiranya tidak mempunyai bekalan makanan dikeluarkan sendiri di dalam negara.

Keperitan dan kesengsaraan rakyat pada zaman penjajahan Jepun bukan saja tertumpu kepada layanan buruk tentera Jepun, tetapi turut menjadi isu utama ialah kekurangan bekalan makanan. 

Justeru, bidang pertanian pada bila-bila masa perlu diberi keutamaan. Pengeluaran hasil makanan yang mencukupi untuk keperluan rakyat perlu dijadikan agenda utama negara. 

Sebagai contoh, Jabatan Pertanian negeri boleh menggunakan pendekatan blue ocean strategy (strategi lautan biru) dalam melaksanakan pelbagai program khusus sama ada untuk tenaga kerja kerajaan atau swasta.

Kenaf ganti tembakau

Penanaman tembakau memberi keuntungan besar kepada petani. Namun pada masa sama, tanaman tembakau mudah berdepan risiko kerosakan apabila batas ditengelami air kira-kira 12 jam menyebabkan kerugian modal membajak, benih, baja dan tenaga sehingga menyebabkan petani hilang pendapatan dan menanggung hutang.

Petani sebenarnya bersedia berpindah kepada tanaman lain sekiranya ada tanaman alternatif yang setara dari segi pasaran, harga, pendapatan, kestabilan dan jumlah tanaman. 

Ada petani cuba beralih kepada tanaman lain seperti ubi kayu, rosselle, labu dan penternakan, namum mereka akhirnya terpaksa kembali menanam tembakau setelah gagal mendapat pulangan lumayan berbanding tanaman tembakau.

Setelah membuat kajian selama beberapa tahun, tanaman yang dikenalpasti sesuai ditanam untuk menggantikan tembakau ialah kenaf. Kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus L. yang merupakan tanaman jangka pendek yang berasal dari Afrika (barat Sudan). Ia merupakan sejenis pokok berserat bukan berkayu.

Kenaf tergolong dalam famili Malvaceae dan berada di bawah genus Hibiscus yang mempunyai persamaan dengan tanaman bendi dan juga kapas. Ada ditanam secara skala kecil dan komersial di China, Myanmar, India, Bangladesh dan Thailand. 

Kenaf mengandungi 30% fiber (serat) pada bahagian bast (kulit luar) dan 70% empulur daripada bahagian dalam batang. Ketinggian pokok mencapai 2m hingga 5m. Bagi pengeluaran fiber penuaian adalah antara 75 hingga 120 hari selepas penanaman. Penuaian bagi pengeluaran benih adalah 150 hari selepas penanaman.

Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang berperanan memajukan industri tembakau telah ditukarkan kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sebagai badan berkanun di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC). Ia telah ditubuhkan dengan berkuatkuasanya Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 pada 1 April 2010 bagi menggantikan LTN.

LKTN diberi tanggungjawab untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman komoditi baru dan juga sebagai tanaman alternatif kepada penanam tembakau selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman 'Sumber Pertumbuhan Baru' di Malaysia.

Namun, kerajaan tidak berhasrat menghapuskan terus penanaman tembakau dalam negara ini kerana yakin kajian mendalam perlu dilakukan bagi melihat potensi komoditi tersebut dalam bidang lain dan bukan hanya tertumpu terhadap pembuatan rokok.

Potensi daun tembakau sebagai bahan dalam bidang farmaseutikal dan kesihatan adalah satu alternatif yang sedang dikenal pasti di peringkat antarabangsa.

Proses pengurangan pengeluaran tembakau yang dihasilkan dalam negara ini bermula sejak beberapa tahun lalu iaitu daripada lebih enam juta kilogram pada 2009 kepada 5.5 juta kilogram (2010) dan 4.5 juta kilogram tahun 2012.

Begitu juga bilangan petani yang menumpukan penanaman tembakau juga semakin susut iaitu daripada lebih 4,000 orang pada tahun 2009 kepada hanya 2,300 orang pada tahun 2012. .

Perkembangan penanaman kenaf memang menggalakkan. Bermula tahun 2004 dengan hanya berkeluasan 0.4 hektar dengan seorang penanam, bertambah mendadak sehingga 778 hektar pada tahun 2010 melibatkan 409 penanam. 

Pada tahun 2008, Kementerian Perusahan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengumumkan bahawa tanaman kenaf bakal menjadi sumber tanaman baru kepada penduduk luar bandar, khususnya di kawasan tanah yang sesuai dengan tanaman berkenaan.

Pada tahun 2013, LKTN telah diberi peruntukan sebanyak RM14 juta khusus untuk membantu penanam kenaf seluruh negara dan menyasarkan penanaman seluas 2,500 hektar melibatkan 2,000 penanam di lapan negari di seluruh negara.

Sehingga Julai 2013, seluas 1,117 hektar kawasan telah ditanam dengan komoditi itu di seluruh negara dan sehubungan itu bantuan sejumlah RM2.6 juta telah disalurkan kepada 683 pekebun.

Tumpuan LKTN bukan saja melibatkan bekas penanam tembakau berhijrah bertukar kepada tanaman kenaf, tetapi mana-mana individu yang berhasrat menceburi penanaman komoditi yang mempunyai masa depan cerah dalam industri ini.

Penanaman kenaf ini melibatkan negeri Pahang dengan keluasan 1,000 hektar, Kelantan (600 hektar), Terengganu (400 hektar), Perak (200 hektar), Johor (180 hektar), Selangor (70 hektar), manakala Negeri Sembilan dan Melaka seluas 50 hektar.     

LKTN menyediakan bantuan sebanyak RM2,385 sehektar bagi penyediaan tanah, benih dan input pertanian untuk  menarik minat lebih ramai pekebun untuk mengusahakan tanaman itu.

Dalam pada itu, LKTN berusaha untuk meningkatkan pengeluaran biji benih kenaf untuk memenuhi permintaan pekebun. Pada tahun 2006, pengeluaran biji benih kenaf hanya sekitar 7,000 kilogram, tetapi kini telah meningkat melebih 150,000 kilogram. Jumlah bijih benih yang dikeluarkan dalam negara masih tidak dapat memenuhi permintaan pekebun, justeru perlu diimport dari luar negara seperti China, Mexico, Australia dan Amerika Syrikat.

Diharapkan tanaman kenaf dapat menjadi tambahan kepada beberapa tanaman komoditi yang lain seperti getah, kelapa sawit dan koko, sekali gus menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar.      

Kerajaan menyediakan Pelan Induk Pembangunan Kenaf (PIPK) bagi meningkatkan pendapatan para petani menerusi tanaman komoditi baharu itu. Pelan induk yang dirangka oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara itu menggariskan hala tuju industri sehingga 2025.

Diharapkan dengan adanya PIPK, pembangunan industri kenaf dapat dilaksanakan secara tersusun dan terancang agar industri ini menjadi lebih kompetitif, berdaya maju dan mampan serta menyumbang kepada nilai tambah yang lebih tinggi.

Pelan induk yang komprehensif untuk merancang supaya tanaman kenaf benar-benar menjadi gantian kepada tanaman tembakau. Industri kenaf yang tersusun dan terancang mampu meningkatkan pendapatan para petani. 

Diharapkan kenaf mampu menjadi satu industri yang berkembang pesat dan mengatasi sumbangan tembakau kepada ekonomi petani pada masa dulu.

Monday 20 November 2017

Doa dengan hati tulus


Perkataan doa diambil dari Bahasa Arab yang merupakan ‘nama terbitan’ (masdar) dari kata kerja (perbuatan) ‘Da’aa, yang secara etimologinya (bahasa) bererti ‘seruan’, panggilan, ajakan atau permintaan. Jika ditinjau dari segi terminologi (pengertian syara), doa adalah ‘memohon kepada Allah SWT dengan meminta kebaikan dari sisiNya dengan penuh ketulusan hati dan penuh pengharapan.

 Doa merupakan tali penyambung yang kukuh antara hamba dan RabNya.  Doa merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah  Doa merupakan satu bentuk zikir kepada Allah SWT.  Doa merupakan senjata yang ampuh bagi setiap mukmin dalam menghadapi realiti kehidupan.

Doa adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon didengar Allah SWT. Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 55-56 bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.”

Ketika menjelaskan perkara sama, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan, (Hadis riwayat Tirmizi)

Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah SWT dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang.

Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia sedar bahawa sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.

Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT?

Berdasarkan besar peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah. Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab tertentu.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab”.