Monday, 23 May 2016

NILAI IKLAN DENGAN BIJAK


Satu aspek paling penting yang perlu diingat oleh orang ramai ialah jangan mudah tertipu dengan iklan.  Hal ini bukan bermaksud iklan sengaja membuat penipuan, tetapi iklan pada hakikatnya sering membuat kita tertipu dan tersilap membuat pilihan.

Sememangnya semua jenis iklan akan menunjukkan sesuatu yang hebat dan menarik.  Itu satu ciri yang tidak terkecuali bagi semua iklan.  Disebabkan terlalu asyik dengan iklan yang menarik, ramai terdorong membeli atau melanggan sesuatu yang sebenarnya tidak diperlukan.

Kerana itu, aspek paling penting sebelum membuat keputusan membeli ialah apakah keperluan atau kepentingan membeli barang yang yang ditawarkan itu.  Keputusan itu mestilah bebas daripada pengaruh iklan.

Pengguna sepatutnya menggunakan iklan sebagai membuat pilihan mana yang lebih baik dan sesuai dibeli, bukannya menentukan apa yang perlu dibeli.

Oleh sebab itu pengguna boleh membuat pilihan tanpa mudah terpengaruh dengan iklan yang hebat.  Teliti dan periksa dahulu kebenarannya.  Sesuatu yang diiklankan mungkin hanya gimik dan sesuatu yang dilebih-lebihkan.

Tindakan ini perlu dilakukan terutama jika ingin membeli barang yang mahal.  Biar kita lebih cerewet membuat pilihan asalkan kita mendapat pilihan terbaik.  Keputusan membeli dan mengguna perlu diutamakan agar tidak menanggung kerugian akibat sikap mudah percaya kepada iklan.

Sering kali pengguna akan berbelanja lebih semasa tawaran hebat.  Sikap ini berpunca tidak mahu melepaskan peluang itu.  Potongan harga yang diberikan dalam peratusan yang besar dan tawaran barang percuma dirasakan rugi jika tidak direbut.

Sepatutnya pengguna perlu menilai sebarang tawaran dengan teliti.  Hal ini demikian kerana didapati kebanyakan barang yang diberi potongan harga istimewa keadaan kualitinya tidak elok, barang stok lama, fesyen lama, barang cacat dan hampir tamat tempoh.

Biasanya barang jenama terkenal yang dikawal mutunya tidak akan diberi tawaran istimewa.  Jika ada tawaran potongan harga diberikan, ia hanya dalam peratusan kecil.  Bahkan kebanyakan barang berjenama tidak ada potongan langsung.

Dengan kata lain, pengguna perlu berhati-hati apabila ingin merebut atau menerima sesuatu tawaran yang didakwa istimewa.  Ingatlah, apalah gunanya mendapat potongan harga yang tinggi sendangkan kualiti barang amat rendah.  Mungkin ia boleh mendatangkan bahaya kepada penggunanya.

Renungkan sejenak kata orang-orang tua, biar kalah membeli asalkan menang memakai.  Kata-kata itu menasihatkan kita agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran murah.

Justeru, janganlah mudah terpengaruh dengan iklan.  Jadilah seorang pengguna yang bijak menilai sesuatu iklan.  Gunakan iklan sebagai penduan membuat pilihan dan mendapat maklumat mengenainya dan bukannya menjadi mangsa kepada iklan.

No comments:

Post a Comment